Rujukan : PSP07/08.YDP.Surat/07
Tarikh : 10 Jun 2008
Bismillahirrahmaanirrahiim,Assalaamualaikum,KepadaDr Rushdan Ismail
Penggawa,
Desasiswa Murni Nurani.
Tuan,
Aduan Berhubung Masalah Yang Timbul ketika Peserta Karnival POS Malaysia Menginap di DesasiswaSebagaimana yang sedia maklum, pada 7-9 Jun 2008 yang lalu, Pos Malaysia telah mengadakan karnival sukan yang bertempat di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia. Untuk pengetahun pihak tuan, secara peribadinya saya menerima banyak aduan daripada siswa/i berhubung dengan beberapa isu yang berkait rapat dengan kedatangan peserta karnival tersebut. Masalah-masalah ini seharusnya mendapat perhatian serius daripada pihak tuan supaya ia tidak lagi berlaku untuk masa yang akan datang.
Berikut adalah antara masalah yang dibangkitkan berhubung dengan perkara yang disebutkan diatas:
1- Siswa/i yang menginap di Nurani terpaksa berpindah ke Murni. Perkara ini telah mewujudkan perasaan kurang senang di kalangan pihak siswa/i yang selama ini menginap di desa Nurani. Kami berharap pihak tuan dapatlah memberi penjelasan yang sewajar terhadap perpindahan kami ke Murni kerana telah timbul rasa kurang selesa berikutan dengan pemindahan tersebut. Kami juga berharap pihak desa dapatlah secara berterusan menjaga kebajikan kami warga desa berbanding pihak luar yang bukannya penghuni tetap didesa kita.
2- Masalah keselamatan terutama kepada pelajar siswi. Saya menerima beberapa aduan daripada siswa/i. Antaranya ada yang melahirkan rasa dukacita apabila terdapat lelaki yang mendakwa dirinya sebagai exco penginapan program berkenaan masuk ke DM1 (desa yang dihuni siswi), membuka pintu-pintu bilik tanpa memberi apa-apa peringatan diberikan terlebih dahulu. Selain itu, terdapat sekumpulan peserta karnival tersebut (lelaki) telah masuk ke desa tersebut hanya untuk menonton perlawanan bola sepak pada waktu malam. Kemungkinan besar perkara ini berlaku disebabkan oleh DM 3 yang dihuni mereka tiada kemudahan Astro, justeru itu mereka ke DM 1 untuk menonton perlawanan tersebut. Walhal DM4 (dihuni pelajar siswa) sendiri sudah ada kemudahan astro, kenapa mereka tidak kesana?
3- Masalah percampuran antara lelaki & perempuan. Saya kurang pasti apa alasan pihak desa yang telah membenarkan peserta karnival tersebut yang berlainan jantina untuk menginap di desa yang sama terutamanya di Blok B. Masalah ini selain berkait dengan isu keselamatan, ia juga sesuatu yang di larang oleh agama kerana akan mengundang kejadian-kejadian yang tidak sepatutnya dalam desasiswa kita. Saya mendapat maklumat daripada seorang siswi yang menginap di Blok B, katanya, sewaktu peserta karnival tersebut tinggal di blok tersebut, mereka terpaksa berkongsi tandas dengan peserta karnival (lelaki). Saya tidak dapat bayangkan bagaimana perkara seumpama ini boleh berlaku. Teringat akan firman Allah Ta’ala yang bermaksud : “...dan janganlah kamu mendekati zina”, Seharusnya ayat ini dijadikan panduan dalam kita mengambil sebarang keputusan yang berkait rapat dengan hubungan lelaki dan perempuan.
4- Masalah kecurian. Untuk makluman pihak tuan, terdapat kes barang-barang siswa/i telah hilang. Seperti biasa siswa/i yang balik bercuti menyimpan barang-barang mereka di bilik stor atau pantri. Namun disebabkan ada stor atau pantri yang tidak dikunci, kehilangan barang telah berlaku. Perkara ini berlaku sewaktu peserta karnival Pos sedang menginap di desa.
5- Masalah bunyi bising. Untuk makluman pihak tuan, Peserta karnival tersebut telah membuat bising yang menyebabkan ramai siswa/i tidak dapat memberi tumpuan sewaktu belajar terutama kepada siswa/i PPSP yang sedang remedial atau elektif & siswa/i PPSG yang sudah memulakan sesi akademik mereka.
6- Masalah kekotoran. Kehadiran mereka di desa juga menyebabkan desa menjadi kotor dengan sampah sarap di merata tempat. Ramai dikalangan mereka yang merokok menyebabkan tandas menjadi kotor dengan habuk dan putung rokok serta menyebabkan bau yang amat kurang menyenangkan. Perkara ini tentunya menimbulkan rasa kurang selesa dikalangan siswa/i yang selama telah menjaga kebersihan di desasiswa.
7- Fasiliti dalam desa dirosakkan. Untuk pengetahuan pihak tuan, terdapat banyak kerosakan dikesan sepanjang mereka menginap di desasiswa. Pintu tandas, paip air dan banyak lagi. Selain menyebabkan kerugian ia juga akan menjejaskan keselesaan siswa/i yang akan masuk semula kampus tidak lama lagi.
Oleh yang demikian, saya meminta jasa baik pihak tuan untuk mempertimbangkan beberapa perkara berikut:
1- Tidak lagi membenarkan pihak luar menginap di desasiswa Murni, Nurani atau mana-mana desa dalam kampus kecuali untuk program-program yang diuruskan oleh pihak siswa/i sendiri. Ini bagi memastikan masalah-masalah yang disebutkan diatas tidak berulang lagi.
2- Jika pihak desa terpaksa memberikan penginapan terhadap mana-mana pihak atas alasan-alasan yang tertentu, maka kami berharap , slogan “kampus sejahtera” diutamakan dengan memastikan perlaksanaan seperti dibawah :
· Batas-batas agama tidak diketepikan. Pastikan penghuni lelaki dan wanita di asingkan dengan apa juga cara sekalipun. Perkara ini wajib ditekankan bukan hanya kepada siswa/i bahkan kepada sesiapa sahaja yang ingin menginap didesa.
· Kebajikan siswa/i mestilah diutamakan melebihi kebajikan pihak luar yang datang menetap. Walaupun mungkin mereka membayar kepada pihak desa dengan bayaran yang lebih tinggi berbanding jumlah yang dibayar siswa/i, namun hakikatnya desa ini dibina bukan untuk mereka atau dengan kata lain bukan untuk tujuan perniagaan, tapi untuk kemudahan siswa/i universiti. Janganlah siswa/i diminta keluar hanya kerana ingin memberi kepuasan kepada pihak luar yang tiada kena mengena dengan perkembangan intelektual universiti kita.
· Pastikan segala fasiliti tidak dirosakkan. Segala kerosakan mesti ditanggung oleh pihak mereka. Ini penting bagi memastikan fasiliti yang ada di desa akan terus dapat dinikmati oleh siswa/i yang akan kembali apabila mereka semua datang nanti. Tetapkan syarat-syarat yang ketat untuk mereka tinggal disini. Kebajikan siswa/i seharusnya tidak dikompromi untuk kepentingan mana-mana pihak.
· Pastikan keselamatan siswa/i dan barang-barang simpanan mereka dijaga rapi. Bilik-bilik stor atau pantri yang menyimpan barang-barang siswa/i hendaklah dikunci sebelum kemasukan mereka. Bagi memastikan keselamatan siswa/i lebih terjamin, pastikan semua CCTV diaktifkan sepanjang masa. Apa yang dapat diperhatikan di desa-desa sekarang, banyak CCTV yang tidak berfungsi. Sebagaimana yang sedia maklum, kos untuk menyediakan CCTV sangat tinggi. Oleh yang demikian, ia seharusnya digunakan dengan semaksimum yang mungkin bagi memastikan keselamatan siswa/i dipelihara.
· Selain itu, pihak luar yang datang menginap hendaklah diberi kefahaman ataupun penerangan yang sejelasnya berkenaan dengan kawasan-kawasan desa yang tidak sepatutnya mereka lewati mahupun kunjungi terutamanya apabila ianya berkaitan dengan privasi dan keselamatan warga desa ini agar kes-kes seperti dimaklumkan diatas tidak lagi berlaku seterusnya. Contohnya, kawasan larangan bagi lelaki adalah desasiswa yang dihuni siswi.
3- Selain itu, diharap pihak tuan dapat memastikan setiap kerosakan yang telah dilakukan oleh peserta karnival Pos tempoh hari dibaiki dengan kadar yang segera sebelum bermulanya sesi semester yang baru, 2008/2009.
4- Berkenaan dengan isu kebersihan desasiswa, kebersihan desasiswa hendaklah dijaga senantiasa, tambahan lagi apabila kedatangan pihak luar yang kadang-kadang tidak menghargai desa ini.
Umum mengetahui yang pembinaan desa bukan untuk tujuan perniagaan atau keuntungan. Ia dibina untuk dihuni siswa/i kampus sejahtera ini. Oleh yang demikian, seharusnya faktor keuntungan tidak langsung di pandang oleh pihak desa dalam menentukan status permohonan untuk menginap di desasiswa kampus kita dari mana-mana pihak luar. Apatah lagi dengan mengetepikan kepentingan siswa/i sendiri. Walaubagaimanapun kita tidaklah menghalang pihak tuan membenarkan pihak luar untuk datang menginap di desa terutamanya sewaktu siswa/i sedang bercuti, namun langkah-langkah yang melibatkan keselamatan, kebajikan & halal haram harus diutamakan sebagaimana yang diterangkan diatas.
Saya juga berharap agar pihak desa dapat mengambil langkah-langkah yang sewajarnya bagi memastikan perkara-perkara yang tidak diingini sebagaimana yang disebutkan tidak lagi berulang buat masa yang akan datang. Segala kerjasama daripada pihak tuan, saya dahulukan dengan ucapan jazakallahu khairal jaza’.
“Kami Memimpin”
“Kebajikan Terjaga, Akademik Terpelihara”
Yang benar
____________________
(Muhd Al-Aarifin bin Ismail)
Yang di Pertua,
Persatuan Sains Perubatan,
Univerisiti Sains Malaysia.
0179743297
al_aarifin@yahoo.comwww.al-aarifin.blogspot.com
Sk;
Pengarah Kampus
Prof Dato’ Dr Mafauzy Mohamed