Sunday, December 13, 2009

Forum di KTC

Semalam (12 Dis 2009) puluhan ribu rakyat Kelantan membanjiri bangunan KTC (Kelantan Trade Center) untuk mengikuti satu forum bertajuk “Islam di Malaysia-Realiti & Harapan”. Forum tersebut menampilkan empat orang ahli panel yang hebat-hebat semuanya terdiri daripada Yb Nik Amar (Exco Kerajaan Kelantan), Dr Asri Zainul Abidin (Mantan Mufti Perlis), Datuk Nahqaie (Mantan YDP YADIM) & Ust Afendi (exco agama Pemuda UMNO) dengan dipengerusikan oleh Prof Agus (Pensyarah UKM).

Walaupun tajuk forum tersebut jelas berfokuskan kepada isu kedudukan Islam di Malaysia, namun banyak isu –isu lain yang turut dibincangkan oleh ahli panel, antaranya isu royalti minyak, isu doa Tok Guru, isu perpaduan PAS & UMNO, isu penahanan Dr Asri oleh JAIS dan banyak lagi. Yang pasti kehadiran Datuk Nahka’ie & Ust Afendi yang mewakili UMNO & BN dalam forum tersebut membuatkan majlis forum tak henti-henti dengan suara sorakan daripada hadirin rakyat Kelantan yang membanjiri KTC wada waktu itu. Pada pendapat Al, YB Nik Amar yang mewakili PAS & Pakatan Rakyat dalam forum tersebut telah melalukan peranannya dengan sangat baik, manakala kehadiran Dr Asri juga memeriahkan lagi suasana yang ada. Walaupun umum mengetahui yang beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik, namun kebanyakan lontaran idea serta pandangan beliau pada malam semalam lebih memihak kepada PAS atau kerajaan Kelantan terutamanya dalam isu royalti minyak & isu doa Tok Guru.

Program yang pada mulanya berformatkan forum bertukar seperti program debat PAS & UMNO. Masing-masing pertahankan ideologi pihak masing-masing. Sewaktu sesi soal jawab dibuka, puluhan rakyat Kelantan yang hadir beratur untuk bertanyakan soalan. Rata-rata dilihat sebagai nak lepaskan geram mereka kepada kerajaan persekutuan yang selama ini terpendam. Akhirnya ahli panel yang mewakili UMNO & BN yang menjadi sasaran. Al teringat, ada salah seorang dari hadirin yang bertanyakan soalan kata:
“Malam ni kalau 10 markah penuh, PAS saya bagi 10, UMNO kosong” di sambut dengan sorakan dari ribuan rakyat Kelantan yang hadir.

Ada juga yang sinis menyindir Ust Afendi & Nahka’ie, katanya:
“Ust Afendi & Nahka’ie bercakap macam budak tadika, tak tahu gapo dio kecek…”

Ternyata, Exco Biro Agama UMNO & Bekas YDP YADIM itu cukup tertekan dengan sindiran seumpama itu, sehingga Datuk Nahka’ie dalam ucapan penggulungannya mengeluh dengan katanya:
“Malam ni kalau nak kira, kita tak dapat apa-apapun, bukan forum ilmiyah, tapi majlis untuk gelak ketawa”

Kalau sesiapa yang tak hadir forum tersebut, Al syorkan agar membeli VCD rakamannya. Terlalu banyak perkara menarik untuk disaksikan dalam forum tersebut. Bukan selalu wakil pimpinan PAS & UMNO dapat duduk berforum di atas satu pentas. Namun apa yang pasti kemeriahan forum yang dirakamkan dalam VCD tentunya tak sama dengan kemeriahan sebenar ketika forum berlangsung. Apa tidaknya dari mula sampai tamat forum, tak henti-henti suara rakyat Kelantan yang menyokong kepimpinan Tok Guru Nik Aziz bersorak lebih-lebih lagi apabila Nahka’ie & Ust Afendi bercakap. Suara sorakan dari beberapa kerat pemuda UMNO yang berbaju kemeja putih semalam tenggelam dalam sorakan puluhan ribu rakyat marhain yang menyokong Kerajaan Kelantan.

Wallah’alam.

-al-
Ahad,13/12/09,2300,Rumah Sewa Masjid Lundang.

Saturday, December 12, 2009

Catatan hidupku... (Sabtu, 12 Disember 2009) - Surat Kursus Induksi & BTN

Tengah hari tadi Al terima surat daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, surat jemputan untuk menghadiri kursus induksi & kursus Biro Tata Negara (BTN). Kursus yang akan diadakan pada 26-31 Disember, di Hotel Olympic Sport, Kuala Lumpur. Sebagaimana polisi yang ditetapkan oleh pihak kerajaan pada waktu ini, kedua-dua kursus tersebut wajib dihadiri sebelum dapat memulakan kerja dalam perkhidmatan awam. Walaubagaimanapun tempat untuk kami menjalani housemanship tak diberitahu lagi, mungkin akan diberitahu masa kursus tu nanti.

Sejak petang tadi, Al dapat banyak SMS daripada sahabat-sahabat group 5.5, rata-rata bertanyakan dah terima ke belum surat berkenaan, ada jugadi kalangan kami yang suratnya belum sampai. Al di maklumkan yang kami semua dikehendaki menghadiri kursus berkenaan pada hari & tempat yang sama.

Dalam hati sekarang, rasa gembira ada rasa takutpun ada. Gembira bila memikirkan tak lama lagi Al akan mula bekerja untuk berbakti pada agama, bangsa & negara setelah lebih lima tahun belajar di fakulti perubatan. Perasaan takut pula terasa apabila memikirkan yang tak lama lagi Al akan memasuki dunia HO yang sangat stress. Dunia realiti bukan lagi fantasi, dunia realistic bukan lagi ritorik. HO itu maksudnya house officer, tapi ada juga yang kata, HO itu maksudnya hamba orang.

Teringat kata-kata abang Khazran yang lebih mesra dengan panggilan abe Ye seorang senior Al ketika di USM, katanya:
“Waktu HO nanti, anta kena bersedia untuk kena marah oleh semua orang, daripada attendan, stafnurse, MO, sehinggalah specialist. Anta sabar je la…”

Begitu juga kata sahabat Al, Sobri :
"Nanti bila dah jadi HO, anta akan selalu kena marah walaupun kesalahan tu bukan anta yang buat"

Macam tu realiti betapa peritnya kehidupan yang mesti ku lalui selepas ini. Takut sangat bila terfikir tentangnya.

Sebelum ni Al juga sempat berbual-bual dengan abang Najib, seorang senior Al yang juga mantan presiden Persatuan Sains Perubatan USMKK, pesannya:
“Nanti bila anta jadi HO, anta kena kerja smart, jangan jadi macam robot, buat kerja kena sistematik & berstrategi, barulah anta tak rasa penat sangat”

Abang Najib juga ada pesan:
“Waktu HO nanti, knowledge kadang-kadang tak penting sangat, yang lebih penting attitude, biasanya orang tak marah sangat kalau tak tahu teori, tapi orang akan marah kalau ada masalah attitude”

InsyaAllah Al akan ingat pesanan abang Najib tu.

Ya Allah, bantulah aku dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Jadikanlah aku seorang doktor yang dapat melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi & bertanggungjawab. Jadikanlah aku seorang doktor contoh & janganlah hendaknya aku menjadi fitnah kepada agamaMu lantaran kerana aku tak dapat laksanakan tanggungjawabku sebaiknya. Rahmatilah daku, berkatilah hidupku...

Firman Allah Ta'ala:
"Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan"
al-Insyirah : 5-6


Sabtu, 12 Disember 2009, 2205, Rumah Sewa Masjid Lundang

Tuesday, December 8, 2009

Kembali ke dunia cyber...

Dah lama sangat rasanya Al tak menulis. Rasa kaku bila nak mulakan semula. Ramai juga sahabat-sahabat yang bertanya, kenapa blog dibiarkan begitu sahaja.

InsyaAllah rasanya sudah tiba masanya untuk Al kembali semula ke alam cyber. Semoga mendapat sokongan dan dorongan dari sahabat-sahabat semua.

Siru 'ala barakatillah

"Evidence based Islam"

-al-
Rabu/091209/0941/Masjid Murni USM