Tuesday, June 30, 2009

Kenapa Masjid Kita Tidak Mesra Muslimat?...

Walaupun sekarang minggu exam posting, tapi sempat juga aku meluangkan masa bersama-sama isteri tercinta menghadiri kulih Maulana Asri. Malam ini adalah malam kedua aku bersama-samanya berkesempatan menghadiri kuliah syarahan kitab sunnan Abu Daud oleh Maulana Asri setelah kami diijab-kabulkan.

Minggu lepas aku menemani isteriku ketika mendengar kuliah Maulana, kami berdua duduk dalam bangunan di mana terletaknya dewan solat muslimat. Sedangkan Maulana Asri pada waktu itu berada di bangunan yang lain. Sesiapa yang pernah solat di masjid berkenaan tentunya menyedari yang bangunan di mana terletaknya dewan solat muslimat & dewan solat muslimin terpisah dengan sebatang jalan. Dalam hati, aku sebenarnya bimbang untuk meninggalkan dia keseorangan dengan keadaan dewan solat muslimat yang agak gelap & sunyi. Di sana sound system juga punya masalah kerana agak perlahan jika dibandingkan dengan sound system di dewan solat muslimin.

Dia juga meminati kuliah Maulana

Aku tahu dia juga suka mendengar kuliah Maulana Asri. Namun barangkali disebabkan dia tidak biasa mendengar kuliah Maulana secara live menyebabkan dia sukar memahami kuliah berkenaan disebabkan masalah sound system. Aku yang berada di sisinya terkadang terpaksa menjelaskan kepadanya apa yang kurang difahaminya.

Pengalaman satu malam berada di tempat solat muslimat sedikit sebanyak mengajarku erti kepayahan. Apa tidaknya, kalau nak dibandingkan dengan tempat muslimin, sangat jauh bezanya. Pintu dewan solat muslimat ditutup, lampu serta kipas tiada yang dibiarkan terbuka, sound yang kurang jelas & banyak lagi masalah mungkin dihadapi pihak muslimat.

Bukan niat dihati ingin menyalahkan pihak pengurusan masjid atas apa yang berlaku. Barangkali mereka sendiri tidak menyedari kepayahan dipihak muslimat untuk sama-sama menuntut ilmu lantaran tiadanya maklum-balas yang sampai kepada mereka. Lagipun waktu kuliah maulana tidak sama dengan kuliah-kuliah yang lain (selepas solat isyak). Oleh itu pantauan mungkin kurang dilakukan.

Minggu ini sekali lagi kami ke kuliah Maulana Asri. Aku mengajaknya untuk sama-sama duduk di dalam dewan solat muslimin. Ternyata banyak perbezaannya. Sejam setengah maulana mensyarahkan kitab Sunan Abu Daud terasa sekejap sahaja. Mungkin kerana terlalu selesa. Apa tidaknya, dengan lampu yang terang menyala, aircord yang sejuk tak terkata, sound system yang jelas suaranya, semuanya membuatkan semua yang hadir selesa sampai ada yang terlena.

Kenapa Masjid Kita Tidak Mesra Muslimat?
Terkadang aku sedih bila memikirkan tentang nasib muslimat terutamanya bila bercakap soal institusi masjid. Seakan-akan wujudnya diskriminasi terhadap mereka bilamana mereka hadir ke masjid. Maafkan daku kiranya ayat ini cukup keras untuk diterima. Hakikat yang perlu diterima adalah kita sebenarnya telah gagal untuk menarik minat muda-mudi ke masjid. Bukan sahaja kerana faktor penarik yang lemah, tapi juga kerana 'faktor penolak' yang terlalu kuat. Barangkali itulah sebabnya mereka lebih suka untuk lepak di supermarket-supermarket daripada solat di masjid-masjid.

Malangnya bila mengenangkan ada yang berkata "anak perempuan tak perlu la ke masjid kerana boleh menimbulkan fitnah" sedangkan mereka langsung tidak melihat yang keluarnya anak mereka ke kota itu lebih menimbulkan fitnah.

Sejak sekolah menengah lagi, selalu juga aku diminta untukmenjadi imam di masjid-masjid. walaupun aku bukan ustaz, namun mungkin kerana mereka melihat aku sebagai seorang lepasan sekolah agama, itu sebabnya mereka menyuruhku untuk menjadi imam. Sepanjang pengalaman aku menjadi imam aku sebenarnya masih gagal memahami kesukaran di pihak muslimat sehinggalah aku mengahwini salah seorang daripada mereka. Kadang-kadang mereka sukar mengikut imam untuk solat berjemaah kerana mereka tidak dapat lihat pergerakan imam dihadapan disebabkan dinding yang menghalang, ditambah lagi dengan suara imam yang terlalu perlahan. Kadang-kadang mereka sukar menyalin pakaian lantaran tiadanya penghadang. Banyak lagi contoh lain yang rasanya tak perlulah ku catatkan.

Mereka juga perlukan pembelaan
Sejak kebelakang ini ramai yang bercakap tentang Sisters In Islam (SIS). Ramai yang mengecam mereka apabila mereka mengeluarkan kritikan atau pandangan yang nampaknya bertentangan dengan kebiasaan. Apa yang menariknya, mereka mendakwa mereka pertubuhan yang membela wanita Islam. Pertubuhan mereka mendapat perhatian mungkin kerana mereka yang benar-benar terkedepan dalam menyuarakan pandangan.

Hakikatnya mereka tidak akan menjadi suatu aliran penting dalam wacana pemikiran kiranya di sana ada alternatif yang menjalankan peranan.

Kerana Allah
-al-
Muhd Al-Aarifin Ismail
Final Year
School of Medical Sciences
University ScienceMalaysia

Rabu/ 1 Julai 2009 / 2.50 pagi / RP

Saturday, June 20, 2009

Kerajaan Perpaduan, Apa Pendirian Kita?


Ramai juga sahabat-sahabat yang bertanyakan pendapat Al berkenaan dengan isu UG (unity goverment). ramai dikalangan mereka melahirkan rasa sedih mereka apabila mereka melihat pimpinan saling bercanggah pandangan tentang idea penubuhan UG tersebut. Mungkin kerana mereka bimbang kalau-kalau isu ini menjadi permulaan kepada sebuah kehancuran. Kehancuran kepada sebuah pergerakan Islam yang telah mereka perjuangkan sejak zaman berzaman.

Namun maaf dipinta, Al merasakan yang Al tak layak memberi sebarang ulasan terhadap isu ini lantaran kerana sudah terlalu lama Al meninggalkan dunia politik (kepartian). Bukan kerana bencikan politik, tapi kerana takut dengan fitnah yang ada bersamanya.


"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganmu dari syaitan & politik"


Itulah petikan doa seorang ulamak terkenal (maaf, Al lupa namanya) berkenaan dengan fitnah dunia politik. Usah dibicarakan soal kebenaran kata-katanya itu, cukuplah dengan kita mengambil pengajaran apa yang positif darinya.


Berbalik kepada soal UG yang sedang hangat diperkatakan. Al dah cuba memahami hakikat sebenar disebalik isu ini, walaubagaimanapun sehingga sekarang Al masih gagal memahaminya.

Pesanan khusus buat sahabat-sahabat yang dikasihi, Apabila kita berada dalam situasi sebegini, jangan cepat kita membuat sebarang pendirian. Ketahuilah,mengambil sesuatu pendirian terhadap sesuatu perkara tampa terlebih dahulu memahami hakikat sebenar disebaliknya merupakan sesuatu yang sangat bahaya. Selalu juga Al berpesan kepada rakan-rakan juga teman-teman,pesanan berkenaan dengan firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 36, maksudnya :

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati kamu semuanya akan dipersoalkan".


Oleh itu pesanan Al kepadat rakan-rakan juga teman-teman seperjuangan, berhentilah dari terus berbicara tentang sesuatu perkara yang kita tidak tahu menahu hakikat sebenar disebaliknya. berhentilah dari terus label-melabel, salah-menyalahkan, aptah lagi fitnah-menfitnah. Serahlah kepada pimpinan untuk menyelesaikan konfliks yang sedang berlaku. Yakinlah yang mereka semua mampu menyelesaikannya.

Berlepas dirilah kita semua dari terlibat dengan sebarang fitnah yang melanda. Berdoalah kepadaNya agar Allah Ta'ala merahmati kita semua & pimpinan seluruhnya.

Wallahu'alam.

Kerana Allah
-al-


Ahad / 21 Jun 2009 / 1.30 pg / RP


Monday, June 15, 2009

Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul



P/s: Al memohon ribuan kemaafan kerana terpaksa membuang entry gambar-gambar majlis perkahwinan Al yang telah dipostkan dalam blog ni beberapa hari yang lepas.Tindakan ini terpaksa Al lakukan bagi menghormati permintaan isteri tersayang. Harap sahabat-sahabat semua memahami. Semoga Allah merahmati kita semua.

Ahad / 15 Jun 2009 / 10.10 malam / Kafe Nurani,USM Kampus Kesihatan