Walaupun sekarang minggu exam posting, tapi sempat juga aku meluangkan masa bersama-sama isteri tercinta menghadiri kulih Maulana Asri. Malam ini adalah malam kedua aku bersama-samanya berkesempatan menghadiri kuliah syarahan kitab sunnan Abu Daud oleh Maulana Asri setelah kami diijab-kabulkan.
Minggu lepas aku menemani isteriku ketika mendengar kuliah Maulana, kami berdua duduk dalam bangunan di mana terletaknya dewan solat muslimat. Sedangkan Maulana Asri pada waktu itu berada di bangunan yang lain. Sesiapa yang pernah solat di masjid berkenaan tentunya menyedari yang bangunan di mana terletaknya dewan solat muslimat & dewan solat muslimin terpisah dengan sebatang jalan. Dalam hati, aku sebenarnya bimbang untuk meninggalkan dia keseorangan dengan keadaan dewan solat muslimat yang agak gelap & sunyi. Di sana sound system juga punya masalah kerana agak perlahan jika dibandingkan dengan sound system di dewan solat muslimin.
Dia juga meminati kuliah Maulana
Aku tahu dia juga suka mendengar kuliah Maulana Asri. Namun barangkali disebabkan dia tidak biasa mendengar kuliah Maulana secara live menyebabkan dia sukar memahami kuliah berkenaan disebabkan masalah sound system. Aku yang berada di sisinya terkadang terpaksa menjelaskan kepadanya apa yang kurang difahaminya.
Pengalaman satu malam berada di tempat solat muslimat sedikit sebanyak mengajarku erti kepayahan. Apa tidaknya, kalau nak dibandingkan dengan tempat muslimin, sangat jauh bezanya. Pintu dewan solat muslimat ditutup, lampu serta kipas tiada yang dibiarkan terbuka, sound yang kurang jelas & banyak lagi masalah mungkin dihadapi pihak muslimat.
Bukan niat dihati ingin menyalahkan pihak pengurusan masjid atas apa yang berlaku. Barangkali mereka sendiri tidak menyedari kepayahan dipihak muslimat untuk sama-sama menuntut ilmu lantaran tiadanya maklum-balas yang sampai kepada mereka. Lagipun waktu kuliah maulana tidak sama dengan kuliah-kuliah yang lain (selepas solat isyak). Oleh itu pantauan mungkin kurang dilakukan.
Minggu ini sekali lagi kami ke kuliah Maulana Asri. Aku mengajaknya untuk sama-sama duduk di dalam dewan solat muslimin. Ternyata banyak perbezaannya. Sejam setengah maulana mensyarahkan kitab Sunan Abu Daud terasa sekejap sahaja. Mungkin kerana terlalu selesa. Apa tidaknya, dengan lampu yang terang menyala, aircord yang sejuk tak terkata, sound system yang jelas suaranya, semuanya membuatkan semua yang hadir selesa sampai ada yang terlena.
Kenapa Masjid Kita Tidak Mesra Muslimat?
Terkadang aku sedih bila memikirkan tentang nasib muslimat terutamanya bila bercakap soal institusi masjid. Seakan-akan wujudnya diskriminasi terhadap mereka bilamana mereka hadir ke masjid. Maafkan daku kiranya ayat ini cukup keras untuk diterima. Hakikat yang perlu diterima adalah kita sebenarnya telah gagal untuk menarik minat muda-mudi ke masjid. Bukan sahaja kerana faktor penarik yang lemah, tapi juga kerana 'faktor penolak' yang terlalu kuat. Barangkali itulah sebabnya mereka lebih suka untuk lepak di supermarket-supermarket daripada solat di masjid-masjid.
Malangnya bila mengenangkan ada yang berkata "anak perempuan tak perlu la ke masjid kerana boleh menimbulkan fitnah" sedangkan mereka langsung tidak melihat yang keluarnya anak mereka ke kota itu lebih menimbulkan fitnah.
Sejak sekolah menengah lagi, selalu juga aku diminta untukmenjadi imam di masjid-masjid. walaupun aku bukan ustaz, namun mungkin kerana mereka melihat aku sebagai seorang lepasan sekolah agama, itu sebabnya mereka menyuruhku untuk menjadi imam. Sepanjang pengalaman aku menjadi imam aku sebenarnya masih gagal memahami kesukaran di pihak muslimat sehinggalah aku mengahwini salah seorang daripada mereka. Kadang-kadang mereka sukar mengikut imam untuk solat berjemaah kerana mereka tidak dapat lihat pergerakan imam dihadapan disebabkan dinding yang menghalang, ditambah lagi dengan suara imam yang terlalu perlahan. Kadang-kadang mereka sukar menyalin pakaian lantaran tiadanya penghadang. Banyak lagi contoh lain yang rasanya tak perlulah ku catatkan.
Mereka juga perlukan pembelaan
Sejak kebelakang ini ramai yang bercakap tentang Sisters In Islam (SIS). Ramai yang mengecam mereka apabila mereka mengeluarkan kritikan atau pandangan yang nampaknya bertentangan dengan kebiasaan. Apa yang menariknya, mereka mendakwa mereka pertubuhan yang membela wanita Islam. Pertubuhan mereka mendapat perhatian mungkin kerana mereka yang benar-benar terkedepan dalam menyuarakan pandangan.
Hakikatnya mereka tidak akan menjadi suatu aliran penting dalam wacana pemikiran kiranya di sana ada alternatif yang menjalankan peranan.
Kerana Allah
-al-
Muhd Al-Aarifin Ismail
Final Year
School of Medical Sciences
University ScienceMalaysia
Rabu/ 1 Julai 2009 / 2.50 pagi / RP
1 comment:
Satu lagi persoalan saya...
Saya pernah tengok kena buat kuliah kelas perubatan kat masjid sem lepas..
yang peliknya, muslimat punya la duduk kat depan..tapi yang peliknya bila kuliah agama, kalau boleh nak duduk belakang sekali..jauh-jauh...ada yang tka nak turun dari atas pun ada..
Apa pendapat abang arifin..mana satu yang betul dalam dua situasi tu? sya tak faham...
Post a Comment