Sunday, May 25, 2008

Memorendum PSP kepada BHEPP - Beberapa Tuntutan Berhubung Isu Penempatan

Memorandum
PERSATUAN SAINS PERUBATAN

Tarikh : 22 Mei 2008
Rujukan kami : PSP 07/08.YDP.Memo1

Rujukan tuan :

Assalaamualaikum

Kepada,
Encik Hafiz Assad bin Zakaria
Penolong Pendaftar Kanan,
Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar,
Univesiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan,
16150, Kubang Kerian,
Kota Bharu, Kelantan.

Tuan,
Beberapa Tuntutan Berhubung Isu Penempatan

Seperti yang sedia maklum, pada sesi hadapan (2008/09) akan terdapat siswa/i kampus kesihatan yang terpaksa berada berada di luar kampus. Pihak kami dimaklumkan yang perkara ini ini berlaku adalah ekoran daripada beberapa sebab, antara lainnya adalah kerana pada sesi akan datang, kampus kita akan menerima kemasukan siswa/i tahun akhir Pusat Pengajian Farmasi yang dahulunya berada di induk.

Kita memahami maksud kenapa pihak pengurusan desasiswa terpaksa menolak permohonan sebahagian siswa/i untuk terus berada di dalam kampus. Perkara ini tak dapat dielakkan lagi ekoran bilangan siswa/i yang berada di kampus ini semakin bertambah melebihi kapasiti yang boleh di terima oleh desa Murni mahupun Nurani.

Walaubagaimanapun pihak Persatuan Sains Perubatan ingin mendapatkan penjelasan atau pertimbangan daripada pihak Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar terhadap beberapa isu yang pada kami kurang jelas yang berkait rapat dengan isu penempatan ini.

Kita memahami hakikat pertambahan bilangan siswa/i di kampus kesihatan, namun pihak kami di maklumkan yang pertambahan tersebut kebanyakannya adalah daripada Pusat Pengajian Kesihatan. Untuk makluman pihak tuan, ada di kalangan ahli persatuan kami yang seolah-olah melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan pihak universiti meminggirkan kepentingan mereka yang telah lama berada di kampus ini. Walaupun ia bukanlah suara majoriti ahli persatuan kami, namun ia seharusnya tidak dipandang sepi oleh pihak universiti.

Untuk pengetahuan tuan, pihak pimpinan Persatuan Sains Perubatan telah membuat mesyuarat khusus bagi membincangkan tentang kebajikan ahli kami terutamanya melibatkan isu penginapan ini. Kami diberitahu yang terdapat ramai ahli kami yang terpaksa berada di luar pada sesi yang akan datang. Berikut adalah beberapa perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat bekenaan yang memerlukan perhatian daripada pihak tuan :

Masalah yang timbul

1- Isu penempatan telah di perkatakan oleh pihak universiti sejak beberapa tahun yang lepas. Bahkan hebahan tentang isu secara rasmi telah di buat kepada semua siswa/i sejak beberapa bulan yang lepas. Namun sistem pengurusan terhadap isu ini dilihat sebagai tidak konsisten dan tidak sistematik. Sebagai contoh suatu ketika terdapat arahan yang meminta supaya siswa/i mengisi borang secara online. Selepas itu pula di keluarkan arahan supaya semua penghuni Nurani menghantar resumne masing-masing. Akhirnya pihak kami di maklumkan yang semua itu tak dikira untuk mata merit yang sebenarnya. Pada sudut yang lain ramai yang mempertikaikan sistem mata merit yang dilakukan. Terdapat kes di mana ahli kami dilihat oleh masyarakat kampus sebagai siswa/i yang aktif, namun apa yang menyedihkan mata meritnya “kosong”. Sebelum ini pihak kami pernah menghantar surat sokongan bagi mengesahkan penglibatan ahli-ahli kami yang terlibat dengan persatuan mahupun program-program kampus, namun apa yang menyedihkan, kami di aklumkan yang ianya tidak di layan pihak tuan. Kami kurang mengerti apa sebabnya perkara ini boleh berlaku.

2- Sehingga sekarang (tarikh memorandum ini di tulis) tiada senarai akhir siapa yang dapat tempat dan siapa yang tidak dapat tempat untuk terus berada di desasiswa. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana isu ini telah lama di perbincangkan. Pihak kami di maklumkan yang pihak BHEPP akan memberitahu samaada seseorang siswa/i itu mendapat tempat dalam desa atau tidak hanya melalui internet/ website universiti (healthycampus). Namun bagi kami, sistem hebahan melalui internet/ website kurang praktikal kerana ada dikalangan ahli kami yang tak dapat akses kepada internet terutama bagi mereka (yang sedang bercuti) yang tinggal di kawasan pedalaman. Bayangkan jika siswa/i yang tidak tersenarai untuk berada di dalam desa tidak mengetahui perkara tersebut sehingga mereka datang untuk meneruskan pengajian mereka pada sesi yang akan datang. Tentu sukar bagi mereka untuk mencari penginapan mereka sendiri. Dari sudut lain, jika pihak BHEPP hanya menggunakan sistem hebahan melalui website, ia akan menyukarkan kami untuk membuat perancangan bagi membela kebajikan ahli-ahli kami yang berada di luar nanti.

3- Kesan yang akan terpaksa dihadapi oleh siswa/i yang berada diluar tentunya telah sedia maklum oleh pihak tuan. Dan aspek yang paling penting adalah aspek kebajikan. Kebajikan mereka yang berada di luar tentunya akan kurang terjaga. Antara masalah-masalah yang timbul adalah:
a. Masalah kewangan. Kos penginapan ketika berada diluar adalah lebih tinggi berbanding kos berada di desa.
b. Jarak yang jauh dari kampus. Masalah ini berhubung kait dengan masalah kos pengangkutan, akademik dan lain-lain.
c. Akses kepada Internet. Kemungkinan besar untuk siswa/i tidak dapat akses kepada internet yang menjadi antara rujukan utama siswa/i. Perkara ini juga melibatkan isu akademik siswa/i.
d. Masalah sosial. Siswa/i akan lebih terdedah dengan masalah sosial apabila berada di luar.
e. Masalah keselamatan. Siswa/i yang berada di luar tentunya akan terdedah dengan masalah keselamatan sama ada keselatan diri mahupun keselamatan harta benda mereka.

4- Masalah akademik
Pihak universiti seharusnya memikirkan kesan jangka panjang yang akan dialami terutama kepada siswa/i dari Pusat Pengajian Sains Perubatan. Keputusan peperiksaan fasa satu lepas yang telah mengejutkan ramai pihak seharusnya dilihat sebagai masalah yang serius oleh pihak universiti. Pihak kami bimbang disebabkan pihak universiti menempatkan siswa/i perubatan di luar kampus ia akan menyebabkan prestasiu akademik siswa/i perubatan akan terus merosot. Perkara ini harus dilihat dari sudut realiti sebagai seorang pelajar perubatan. Selama ini siswa/i perubatan dihantui dengan pelbagai masalah, antaranya bilangan pelajar yang semakin bertambah ramai, kemudahan pembelajaran yang semakin terhad dan banyak isu lain lagi. Sekarang mereka terpaksa berhadapan dengan tekanan baru iaitu tekanan kerana berada di luar kampus.

5- Seperti yang pihak tuan sedia maklum, selama ini siswa/i perubatan banyak terlibat dengan program-program di bawah Pusat Pengajian sebagai contoh program CFCS, program Big Sib, program PPIP, ko-kurikulum dan sebagainya. Secara umumnya program-program tersebut juga memberi sumbangan kepada universiti. Sebagai contoh program CFCS, umum mengetahui yang USM mendapat nama melaluinya.

6- Selama ini berita yang mengatakan siswa/i Pusat Pengajian Sains Perubatan tahun 4 dan 5 dijamin tempatnya dalam desa. Namun sehingga sekarang tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak universiti mengesahkan perkara tersebut. Perkara ini adalah penting terutamanya untuk jangka masa panjang.

7- Kami mendapat maklumat yang pihak universiti merancang untuk membina bangunan baru yang akan digunakan sebagai pusat mahasiswa yang baru. Persoalan yang timbul sekarang adalah, apakah pembinaan pusat tersebut lebih merupakan suatu yang lebih utama daripada pembinaan desasiswa yang baru?. Pada pandangan kami pembinaan bangunan desasiswalah yang perlu diutamakan berbanding pusat mahasiswa tersebut. Kerana jika diperhatikan, tampa adanya pusat mahasiswa yang baru, persatuan-persatuan mahupun program-program kampus tidaklah tergendala. Tetapi tampa desasiswa yang baru, ramai siswa/i yang menerima kesan secara langsung.


Merujuk kepada beberapa isu atau masalah yang telah disenaraikan diatas,
Kami Persatuan Sains Perubatan dengan ini memohon supaya pihak Hal Ehwal & Pembangunan Pelajar :

1- Memikirkan cara supaya semua siswa/i semua perubatan berada di desasiswa (jika ada kemungkinan). Jika sekiranya perkara ini mustahil, diharapkan agar pihak desa dapat berusaha untuk menyediakan tempat penginapan secara berpusat kepada mereka yang terpaksa berada di luar. Tempat penginapan secara berpusat adalah penting untuk memudahkan kebajikan mereka dipelihara.

2- Mengisi kekosongan bilik di blok-blok yang di peruntukkan untuk pelajar postgradute dengan siswa/i perubatan. Pihak kami difaham yang terdapat banyak lagi kekosongan bilik di blok-blok postgradute. Jika benar perkara ini, kami mengharapkan agar pihak universiti memperuntukkan bilik-bilik berkenaan kepada siswa/i perubatan untuk tinggal disana.

3- Mengeluarkan senarai nama siswa/i yang dapat tinggal di desa dan yang tidak dapat tinggal di desa dengan kadar yang segera. Kami mengharapkan agar pihak BHEPP mengeluarkan senarai berkenaan selewat-lewatnya 3 minggu sebelum tarikh buka sesi baru. Perkara ini penting terutamanya bagi pihak Persatuan membuat persediaan untuk menjaga kebajikan ahli kami yang berada di luar.

4- Mempertimbangkan kembali status ahli kami yang terlibat dengan persatuan, mahupun program-program kampus. Perkara ini sangat penting bagi memastikan pengorbanan mereka selama ini kepada kampus tidak di ketepikan oleh universiti.

5- Memberi keistimeweaan kepada ahli kami yang mengulang tahun satu. Walaupun dari segi umur, mereka adalah tahun dua, namun disebabkan mereka mengulang, mereka akan berada ditahun satu untuk sesi yang akan datang. Oleh yang demikian, pihak universiti seharusnya menganggap yang mereka yang mengulang tahun satu sama seperti tahun satu yang baru dari segi keutamaan kepada mereka untuk terus berada di desasiswa. Perkara ini sangat penting kerana ia akan memberi kesan secara langsung kepada prestasi akademik mereka. Mereka yang telah terbeban dengan masalah akademik seharusnya tidak dibebankan lagi dengan tekanan untuk berada di luar.

6- Memaklumkan kepada semua siswa/i yang tidak dapat tinggal di desa dengan cara mengutus surat atau SMS secara individu. Seperti yang telah dijelaskan di atas, kebanyak ahli kami tidak mengetahui status mereka samaada mereka mendapat tempat di desa atau tidak untuk sesi yang akan datang. Hebahan melalui website perlu diteruskan, walaubagaimanapun kita perlu sedari yang tidak semua siswa/i dapat akses internet terutama ketika bercuti. Oleh yang demikian hebahan melaui cara surat atau SMS adalah sangat relaven. Jika sekiranya pihak BHEPP tidak dapat lakukan perkara ini, pihak BHEPP boleh kapada kami (Persataun Sains Perubatan) untuk kami melakukannya sendiri.

7- Membuat perancangan dengan terperinci untuk menjaga kebajikan siswa/i yang berada di luar kampus.
a. Wujudkan tempat penginapan berpusat
b. Sediakan pengangkutan (jika perlu)
c. Akses kepada internet – pastikan mereka mempunyai akses kepada internet di tempat penginapan masing-masing.
d. Keselamatan – Pastikan keselamatan diri dan harta benda mereka dijaga.
e. Dan sebagainya.

8- Menetapkan sistem yang lebih sistematik yang digunakan untuk mata merit. Nyatakan bilangan mata merit secara spesifik bagi setiap penglibatan siswa/i dalam persatuan, program dan sebagainya. Sebagai contoh, berapa mata merit yang diperolehi siswa/i yang memegang jawatan (majlis tertinggi atau AJK) dalam persatuan, memegang jawatan projek-projek dan sebagainya. Lakukan pemarkahan merit secara telus. Kami berharap agar mata merit sentiasa di update oleh pihak universiti melalui website healthycampus bagi memudahkan setiap siswa/i mengetahui status merit mereka dari semasa ke semasa. Dengan kata lain, jadikan website healthycampus sebagai medium perantara untuk semua siswa/i mengetahui status merit mereka.

9- Program Pusat Pengajian diterima oleh sebagai pihak HEP seperti mana program lain. Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas,siswa/i perubatan yang menjayakan program tersebut telah banyak menghabis masa, tenaga dan wang ringgit mereka yang secara langsung memberi kredit kepada universiti. Oleh yang demikian, sekiranya penglibatan mereka dalam program-program tersebut tidak diambil kira dalam sistem pemarkahan merit, sumbangan mereka seolah-olah diketepikan oleh pihak universiti. Dari sudut kekangan masa, siswa/i perubatan tidak mempunyai kesempatan untuk terlibat dengan banyak program-program lain sebagaimana siswa/i pusat pengajian yang lain. Oleh yang demikian, perkara ini seharusnya dipertimbangkan oleh pihak universiti.

10- Keluarkan kenyataan rasmi menyatakan bahawa siswa/i Pusat Pengajian Sains Perubatan tahun 4 dan 5 dijamin tempatnya dalam desa. Perkara ini sangat penting, kerana ada ahli kami yang melahirkan rasa kebimbangan mereka jika sekiranya suatu hari nanti siswa/i perubatan tahun 4 dan 5 juga tidak terkecuali untuk melalui sistem permarkahan mata merit. Pelajar perubatan tahun 4 dan 5 mesti berada di dalam di dalam di sebabkan mereka terpaksa berulang-alik ke hospital untuk tujuan on call dan sebagainya.

11- Bina bangunan untuk penginapan yang baru. Untuk jangka masa panjang, pihak kami memohon supaya pihak universiti mempertimbangkan cadangan supaya desaiswa baru dibina bagi menampung bilangan siswa/i yang bertambah ramai. Kampus Kesihatan mempunyai tanah lapang yang masih banyak dan ia seharusnya digunakan untuk kepentingan siswa/i di dalam kampus ini. Berkenaan dengan pembinaan pusat mahasiswa yang baru, pada kami ia bukanlah suatu yang perlu di segerakan. Pembinaan desasiswa adalah lebih utama buat masa sekarang.

Kami mengharapkan agar setiap permohonan kami di pertimbangkan oleh pihak tuan. Segala kerjasama dari pihak tuan, kami dahului dengan ucapan jazakallaahu khariral jaza’.

Yang benar


_________________________

(MUHD AL-AARIFIN BIN ISMAIL)
Yang di Pertua
Persatuan Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia,
Kampus Kesihatan.
al_aarifin@yahoo.com
www.al-aarifin.blogspot.com
017–9743297


Sk;

Prof Dato’ Dr Mafauzy Mohamed
Pengarah Kampus Kesihatan
Universiti Sains Malaysia

Prof Abdul Aziz Baba
Dekan,
Pusat Pengajian Sains Perubatan

Assoc. Prof. Abdul Rahman Mohd. Noor
Timb. Dekan Akademik
Pusat Pengajian Sains Perubatan

Dr Rushdan Ismail
Penggawa,
Desasiswa Murni Nurani

Dr Wan Hazabbah bin Wan Hitam
Penasihat
Persatuan Sains Perubatan

No comments: